BUDAYARENCANA

Topeng, pengkhianatan dan Covid-19

Oleh Abang Median Abang Said

FAKTA pertama – isteriku tidak pernah menyokong kerjayaku sebagai pembuat topeng kayu berukir wajah mitos kepercayaan kaum penuh magis; seseorang boleh dirasuki semangat roh-roh orang terdahulu dengan upacara ritual pemujaan. Aku juga boleh menghasilkan topeng kayu untuk penyamaran seperti kepercayaan masyarakat Afrika Barat. Mengikut datukku yang berbangsa Iban, pengukir topeng melakukan kerjanya atas kehendak Tuhan untuk tujuan pemujaan. Nenek aku pula berbangsa Kayan. Jadi kepercayaanku tentang makna topeng itu bercampur-campur – tidak hanya mengikut kepercayaan satu kaum.

Ketepikan fakta itu dan fahami pula fakta ini: Ibu mentuaku mengatakan aku mengaburi persepsinya dengan topeng lakonanku hingga pinanganku diterima. Katanya, “Tidak ada orang jadi kaya dengan membuat topeng.” Dia mahu menantunya orang kaya dan punya kuasa. Aku terkilan dengan pandangan tersebut.

Fakta ketiga seperti membenarkan fakta kedua tatkala topeng-topeng yang kuhasilkan tidak mendatangkan pulangan. Tiada sesiapa membelinya biarpun aku boleh membuat topeng mengikut kehendak pelanggan. Beritahu sahaja. Mereka boleh memesan topeng dengan wajah berwibawa, atau wajah orang bijaksana biarpun otak seperti lembu. Jangan ketawa, aku tidak maksudkan sesiapa.

Fakta keempat, topeng-topeng itu aku letakkan dalam bilik kecil di rumah yang juga kecil. Pada waktu malam, topeng-topeng itu seperti bersuara dan berinteraksi antara satu sama lain. Aku terus menghasilkan topeng biarpun tidak mendapat tempahan. Itu sahaja kerja yang mampu kulakukan. Itulah juga yang menyebabkan isteriku terganggu. Topeng-topeng itu bertengkar, berpakat dan menegakkan pandangan masing-masing. Ada nada marah. Ada nada kecewa berapungan hingga menujah telinga.

Setiap fakta memerlukan huraian dan contoh. Untuk merungkaikan permasalahan dalam fakta ketiga, topeng-topeng itu perlu dijual. Langkah ini juga mampu menyelesaikan fakta kedua tatkala ibu mentuaku mahukan menantu kaya. Aku menyuruh isteriku menjual topeng itu dalam talian. Untuk tujuan itu, aku hasilkan topeng yang meningkatkan aura pada seri wajah isteriku agar dia mampu menjual banyak topeng-topeng lain. Tidak apa menyerlahkan kepalsuan. Media sosial itu sendiri sememangnya penuh dengan lakonan.

Isteriku hanya memaparkan iklan ringkas: Topeng untuk dijual yang mampu menyerlahkan apa yang tidak anda miliki! Apakah topeng yang magis mampu membina gelora di Malaysia? Dia ubah sedikit lontaran kata Edward Lopez, si peramal cuaca pada tahun 1960, dari buku politik lama yang bertindihan dengan topeng-topeng itu. Buku itu membayangkan kisah-kisah tragik dan dramatik.

Fakta-fakta lain muncul selepas itu. Topeng-topengku kian laris. Dua orang pelanggan yang saling mengenali berebut untuk mendapatkan hasil kerja tanganku. Isteriku, jurujual merangkap jurucakap mengatakan, “Kepantasan dan harga akan menjadi ukuran setiap keputusan.” Dari mana isteriku pandai berfalsafah? Dari buku politik lama itukah?

Seorang lelaki berkereta mewah, menamakan dirinya Pelobi datang ke teratak buruk kami untuk memborong semua topeng yang aku hasilkan. Dia menawarkan harga yang tidak mungkin aku tolak – sepuluh kali ganda daripada harga yang isteriku letakkan di media sosial. Aku seolah-olah menjual emas; bukan topeng kayu yang diraut halus. Aku tidak berurusan secara langsung dengannya, sebaliknya dia hanya berurusan dengan isteriku. Yang mengenakan topeng.

Dia masih memerlukan lima lagi topeng biarpun aku telah menjual lebih seratus topeng kepadanya. Dia mahu aku membuatnya dengan kadar segera. Harga bukan persoalan utama.

Dalam waktu yang sama, seorang lagi pembeli yang digelar sebagai Pembuli juga ingin mendapatkan kelima-lima topeng tersebut. Dia cuba menyaingi harga yang ditawarkan Pelobi. Isteriku yang sudah rabun melihat angka berganda mendesakku menyiapkan sepuluh topeng untuk dijual kepada kedua-dua pihak. Lelaki yang menggelarkan dirinya Pelobi seperti dapat menghidu helah tersebut. Dia mengatakan bahawa urusan jual beli terbatal jika aku menjual topeng itu kepada pihak yang satu lagi. Jualan hendaklah eksklusif kepada satu pihak sahaja.

Aku pernah membaca kajian Ushaa Nanthini A.K. pada tahun 2007 tentang mitos dan magis topeng dalam masyarakat Iban. Tetapi magis topeng yang aku hasilkan sedikit berbeza; tidak sama dengan topeng indai guru seperti yang dihasilkan datukku dahulu. Rasa bangga mengepam dada apabila topeng yang kuhasilkan digunakan kumpulan berkenaan. Mereka rupa-rupanya orang berpengaruh. Topeng-topengku menyebabkan mereka nampak menjadi seorang yang pemurah, prihatin, berkarisma dan ada juga menampakkan mereka kelihatan berdukacita seperti dizalimi. Tapi kebanyakan mereka hanya menjadi pengikut senyap; hanya berekspresi tetapi tidak berkata-kata.

Pada waktu yang sama masalah Covid-19 melanda dunia hingga dilabelkan sebagai gejala pandemik. Tentu sahaja topengku mampu mencegah penularan virus berkenaan.

Isteriku terus mendesakku menyiapkan topeng dengan pantas. Entah mengapa tanganku jadi kaku untuk menghasilkan topeng yang terkenal dengan magisnya. Seperti kata datuk, ini tugas yang diturunkan dewa – menurut kepercayaan animisme dahulu.

Fakta-fakta dalam cerita tentang topeng ini telah berbaur dengan fakta yang ingin ditegakkan oleh Pelobi dan Pembuli. Fakta yang dikemukakan berubah-ubah. Tidak dapat dipastikan kesahihannya. Topeng ditopangkan di dahi. Tali masih melilit di kepala. Topeng seperti ternganga menampakkan mulut pemakainya. Mulut masing-masing juga ternganga untuk berhujah menegakkan pendirian.

Pada waktu itukah semua itu berlaku?

Kira-kira dua minggu berikutnya tatkala baki pesanan topeng telah siap, ramai disahkan positif COVID-19 akibat perjumpaan tersebut, setelah lapan orang daripada kumpulan itu baru balik bercuti di China dan Korea Selatan. Berita tersebut dicungkil dari mulut seorang jururawat. Wartawan tidak mampu menemui kunci berita. Dia ingin menulisnya begini: Sikap tidak endah dan tidak kisah membawa padah.

Urusan jual beli kali ini tidak dibuat di rumahku. Isteriku yang menghantar topeng itu kepada Pelobi. Kenapa lama sangat urusan itu dijalankan? Katanya, dia terpaksa menanti mereka habis bermesyuarat.

Ini fakta yang aku terlepas pandang: Isteriku sejak kebelakangan ini tidak mahu menanggalkan topengnya biarpun sewaktu tidur. Malam itu isteriku tidak balik rumah.

Dalam penghasilan esei, selain memerlukan fakta, pengarang memerlukan kesimpulan. Aku seperti tidak kuat untuk mendepani kesimpulan dengan bayangan tubuhnya yang membongkok meraih tanganku untuk meminta maaf. Akhirnya, pembuat topeng yang tertipu.

Dia mencipta adegan yang tidak terduga. Digambarkan dia sedang berfoto di sebuah rumah mewah.

Dalam beberapa fakta, nampaknya fakta kedua yang tepat. Ya, ibu mentuaku mahukan orang yang kaya dan berkuasa!


Pengarang :