Taman tema air di Gold Coast Morib International Resort, Banting. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tourism Selangor: Jumlah pelancong dijangka meningkat esok

SHAH ALAM, 30 JUN: Tourism Selangor menjangkakan jumlah pelancong ke negeri ini akan terus meningkat mulai esok susulan pembukaan semula taman tema.

Justeru Pengurus komunikasi korporatnya menyeru semua pihak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19.

“Jumlah pelancong mula meningkat selepas kerajaan mengumumkan beberapa kelonggaran dan kita jangka ia makin bertambah Julai ini.

“Pembukaan semula taman tema air Sunway Lagoon, Water World i-City dan Gold Coast Morib mampu menarik ramai pengunjung.

“Sejak dua minggu lalu, tempahan inap desa dan hotel juga meningkat,” kata Ahmad Nazri Tashriq Rahmat kepada SelangorKini hari ini.

Bermula esok, semua 54 taman tema termasuk taman tema air dibenarkan beroperasi semula selepas ditutup lebih tiga bulan susulan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah pandemik itu.

Pengusaha perlu mematuhi SOP serta mengikut Garis Panduan Pengurusan dan Penyelenggaraan Kolam Renang Awam pihak berkuasa tempatan dan Garis Panduan Pemantauan Kualiti Kolam Air.


Pengarang :