Penguat kuasa JAIS membuat sekatan di pintu masuk Masjid Negeri, Shah Alam pada 12 JUN 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGAMASELANGOR

Umat Islam di Selangor bersyukur jemaah di masjid ditambah

SHAH ALAM, 12 JUN: Umat Islam di Selangor menzahirkan rasa syukur apabila pelaksanaan solat Jumaat dan solat lima waktu di 39 masjid terpilih di negeri ini ditambah bilangan jemaahnya daripada 12 orang kepada 40 orang mulai hari ini.

Tinjauan Bernama di Masjid Sultan Salahuddin Idris Shah di sini mendapati, keterujaan orang awam untuk kembali menunaikan solat Jumaat selepas hampir tiga bulan ‘bercuti’ dilihat mengelirukan mereka apabila ada yang hadir tanpa ‘kad jemputan’ dikeluarkan oleh masjid terbabit.

Walaupun ‘terkandas’ di pintu pagar masjid negeri itu kerana tidak mempunyai ‘kad jemputan’, namun orang awam akur dengan pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) demi mengekang penularan wabak Covid-19.

Seorang peniaga, Ahmad Zamri Mat Said, 49, memberitahu, beliau hadir ke masjid negeri itu dengan harapan dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat hari ini walaupun tidak mempunyai ‘kad jemputan’ tersebut.

“Mungkin saya yang tidak peka dengan pengumuman semalam sebab terlalu teruja nak solat, siap bawa sejadah sendiri…saya tahu nak datang solat Jumaat ni ada SOP tapi tak tahu kena daftar dalam talian,” katanya.

Bagi Mohd Zaimi Faizal, 29, pula memberitahu selepas membaca laporan berita mengenai pertambahan jumlah jemaah bagi solat Jumaat semalam, beliau sanggup menaiki pengangkutan awam untuk ke masjid hari ini untuk menunaikan solat.

“Bila nak masuk, pengawal keselamatan masjid kata kena dapatkan kebenaran dan kad jemputan. Saya memang tak tahu pula kena buat permohonan,” katanya.

Garis panduan yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor menetapkan umat Islam yang ingin menunaikan solat Jumaat perlu membuat permohonan secara dalam talian menerusi Google Form atau mengisi borang yang disediakan oleh pihak masjid dan sekiranya memenuhi SOP, mereka akan diberi ‘kad jemputan’ tersebut.

Bagi jemaah yang tidak menerima jemputan, mereka perlu menunggu untuk solat Jumaat pada minggu berikutnya dan dilarang hadir ke masjid sebaliknya menunaikan solat zuhur di rumah.

Sementara itu, turut dilihat hadir menunaikan solat Jumaat di masjid negeri hari ini adalah Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid, Timbalan Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir dan Hakim Syarie Selangor Datuk Mohammad Adib Husain.

-BERNAMA


Pengarang :