AGENSISELANGOR

Unisel nafi pensyarah terlibat dalam gabungan 115 ilmuan

SHAH ALAM, 20 JUN: Universiti Selangor (Unisel) menafikan pensyarah daripada institusi itu terlibat dalam gabungan 115 ilmuan yang mengeluarkan kenyataan menyeru rakyat menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengarah komunikasi korporatnya Hasril Abu Hassan berkata dakwaan ilmuan dari universiti itu terlibat dengan sokongan terhadap perdana menteri adalah tidak benar.

“Ilmuan kami tidak pernah dilibatkan dengan sokongan tersebut. Oleh yang demikian, tidak timbul isu bahawa ilmuan daripada Unisel menyokong atau tidak menyokong,” katanya dalam kenyataan.

Hasril berkata jika ilmuan dimaksudkan adalah Profesor Madya Dr Mohd Fuad Mohd Salleh, ia tidak benar sama sekali kerana beliau sudah tamat perkhidmatan di institusi itu pada 31 Januari 2020.

“Ini membawa maksud segala sokongannya itu tidak ada kaitan dengan Unisel,” katanya.

Semalam, media melaporkan 115 ilmuan berkelulusan Ijazah Kedoktoran (PhD) daripada lebih 25 institusi pengajian tinggi awam dan swasta termasuk Unisel selain Institut Pendidikan Guru menyeru rakyat memberi sokongan penuh kepada kerajaan pimpinan Muhyiddin.


Pengarang :