ADNSELANGOR

Unisel tawar biasiswa buat pelajar DUN Permatang

SHAH ALAM, 15 JUN: Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang ditawarkan biasiswa pengajian ke Universiti Selangor (Unisel).

Ahli Dewan Negerinya, Rozana Zainal Abidin berkata tawaran Biasiswa Bestari Unisel berjumlah RM3,000 itu akan disalurkan pada semester pertama untuk semua program diploma dan ijazah sarjana muda di Unisel Kampus Bestari Jaya.

Katanya, sebagai DUN dengan motto Permatang Peduli Ilmu, ia adalah satu cara bagi menggalakkan anak-anak di Permatang melanjutkan pelajaran ke Unisel dan pada masa sama meningkatkan taraf pendidikan mereka terutama dari keluarga B40.

“Saya menyokong usaha murni ini memandangkan Unisel terletak dalam DUN Permatang, dan ia juga menjadi universiti pertama di Malaysia milik Kerajaan Negeri,” katanya kepada SelangorKini.

Rozana berkata menerusi biasiswa berkenaan, Unisel akan menanggung kos pengajian bagi semester pertama berikutan terdapat pelajar tidak dapat menyambung pengajian ke universiti disebabkan kekangan kewangan bagi membayar yuran permulaan.

“Apabila pelajar ini memasuki semester kedua, dengan keputusan dari semester pertama, mereka boleh memohon biasiswa atau pinjaman dari Kerajaan Negeri,” katanya.

Pendaftaran pelajar baharu bagi pengambilan Julai dan Ogos tahun ini kini dibuka dengan yuran pendaftaran hanya RM100 sahaja.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 03-55223400 atau WhatsApp ke 018-5714084 atau 018-5714087.


Pengarang :