AGENDANASIONAL

UPM baiki kedudukan, naik 43 anak tangga universiti Asia

SHAH ALAM, 5 JUN: Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya melonjak 43 anak tangga dalam Time Higher Education (THE) Asia Universiti Rankings 2020 sekali gus meraih kedudukan tertinggi antara semua universiti di Malaysia.

Naib Canselornya, Prof Datin Paduka Setia Dato’ Dr Aini Ideris berkata pencapaian itu meletakkan UPM pada kedudukan 145 terbaik Asia berbanding 188 pada tahun lalu.

Beliau berkata penilaian itu mengambil kira lebih 60 peratus penunjuk kualiti penyelidikan dan kajian berimpak berbanding penilaian kedudukan lain lebih memfokuskan kepada reputasi sesebuah universiti.

“Pencapaian ini menjadikan kedudukan UPM diiktiraf sebagai sebuah universiti penyelidikan tersohor dan bertaraf antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Dr Aini berkata universiti tersebut berjaya menduduki tangga teratas dalam kalangan universiti di negara ini bagi indikator penyelidikan yang merangkumi jumlah penerbitan, pendapatan hasil dari penyelidikan serta reputasi penyelidikan.

THE Asia University Rankings 2020 yang diumumkan 3 Jun lalu menyenaraikan 489 universiti dari 30 negara di Asia.

Menurut rekod, sebanyak lima indikator utama dinilai dalam THE Asia University Rankings iaitu pengajaran (25 peratus), penyelidikan (30 peratus), petikan (citation) (30 peratus), tinjauan antarabangsa (7.5 peratus) dan pendapatan industri (7.5 peratus).


Pengarang :