BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Usahawan perlu manfaat lonjakan niaga dalam talian

SHAH ALAM, 13 JUN: Usahawan perlu mengubah pendekatan perniagaan dengan tumpuan kepada jualan secara dalam talian yang semakin mendapat perhatian pengguna terutama ketika berhadapan Covid-19, kata EXCO pembangunan usahawan.

Rodziah Ismail berkata proses tersebut boleh dipelajari secara berperingkat dengan bimbingan kumpulan berpengalaman dan secara tidak langsung mewujudkan peluang kerja baharu seperti dalam bidang logistik.

“Sebenarnya dalam isu jualan dalam talian bukan sahaja mengenai jualan barangan sahaja tetapi secara tidak langsung memberikan manfaat dengan mewujudkan peluang pekerjaan baharu,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri kini menekankan sistem perniagaan berkaitan yang lebih mudah dan sesuai dengan norma baharu kerana internet kini menjadi sebahagian keperluan asas kehidupan.

Rodziah berkata Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (Seldec) merupakan langkah bagi membantu peniaga terutama luar bandar memasarkan produk selain melantik tiga perunding untuk membimbing 1,500 usahawan baharu di Selangor.

Selain itu, bermula 1 Julai hadapan khidmat kaunseling secara dalam talian akan diperkenalkan untuk membantu usahawan mendapatkan nasihat perniagaan.


Pengarang :