Penghantar barangan dalam talian aplikasi “Seldec Rider” mengangkat beg barangan mereka selepas selesai sesi sidang media Pelancaran Web Portal SELDEC (Selangor Digital e-Supply Chain) & Sistem Aplikasi “Seldec Rider” di Bangunan SUK Selangor, Shah Alam pada 24 Jun 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Usahawan yakin Seldec mampu bantu tingkat pendapatan

SHAH ALAM, 25 JUN: Program Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) diyakini mampu meningkatkan pendapatan usahawan dan meluaskan capaian pengguna ke seluruh negeri dengan bantuan pemasaran Koperasi Warga Hijrah Selangor (Kohijrah).

Usahawan makanan, Mohammad Munir Lukman Hakim, 53, berkata ia landasan yang baik untuk mengetengahkan produk dan peniaga perlu mempelajari aliran pemasaran berbeza bermula dari kedai runcit, pasar raya dan kini di laman sosial.

“Walaupun permintaan pengguna berubah mengikut keadaan semasa tetapi usahawan perlu bijak meneroka peluang baharu. Malah ia bagus apabila Kohijrah sendiri banyak membantu dari segi promosi,” katanya pengarah eksekutif Reza yang menceburi perniagaan sejak 12 tahun lalu kepada SelangorKIni.

Pandangan sama dilontarkan Pegawai Pengurus Cik Tipah, Emiliyana Kasbolah, 37, dengan menjelaskan suasana perniagaannya kian memberangsangkan terutama dari segi pendapatan namun perlu terus bekerja keras bagi memenuhi permintaan pasaran.

“Saya menyertai Seldec selepas ditawar Hijrah Selangor untuk meletak produk di Kedai Serbaneka Kohijrah awal tahun ini dan ia satu insiatif bagus kerana jualan secara dalam talian selain ada khidmat penghantaran ke rumah.

“Potensi perniagaan berkembang juga mudah dengan bantuan pemasaran secara percuma daripada Kohijrah,” katanya yang mengusahakan produk kerepek dan makanan sejuk beku sejak 15 tahun lalu.

Seldec diterajui Selangor Industrial Corporation (SIC) merupakan medium terbaharu pemasaran produk secara dalam talian diperkenalkan Kerajaan Negeri sejak Ogos tahun lalu.

Dengan sasaran pembukaan 7,800 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun, inisiatif ini turut menyediakan perkhidmatan melalui Seldec Rider ke seluruh negeri.


Pengarang :