Tinjauan SelangorKini di Pasar Pagi MPSJ Bandar Puchong Jaya yang kembali dibuka pada 16 Jun 2020 dengan pematuhan SOP ketat. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
SELANGOR

Utama peniaga bahan makanan di pasar pagi

AMPANG, 19 JUN: Peniaga bahan makanan diberi keutamaan di pasar pagi bagi memudahkan orang awam mendapat bekalan itu.

Pengerusi Penjaja Pasar Pagi Taman Muda, Chow Chee Keen berkata ia berikutan jarak pasar raya yang agak jauh selain memberi lebih pilihan kepada pengunjung.

“Kita susun giliran berniaga mengikut produk jualan namun memberi fokus kepada perniagaan makanan.

“Bahan makanan yang dijual juga segar dan banyak pilihan…sebab itu kita utamakan berbanding penjual baju atau barangan lain,” katanya ketika ditemui di pasar pagi Taman Muda di sini.

Terdahulu, EXCO Kerajaan Tempatan, Ng Sze Han bersama Ahli Dewan Negeri Teratai Lai Wai Chong meninjau lokasi berkenaan.

Chee Keen berkata semua penjual dan pengunjung mengikut tatacara operasi piawaian (SOP) dan memberikan kerjasama baik.

“Anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan turut membantu. Mereka meninjau setiap masa sehingga pasar ditutup,” katanya.

Bermula Isnin lalu, sebanyak 417 pagi, pasar malam dan bazaria seluruh Selangor dibuka berperingkat.

Pasar pagi, pasar tani dan pasar terbuka dibenarkan beroperasi dari 6 hingga 11 pagi, pasar malam (4 petang-10 malam) dan bazaria (5 petang-12 malam).


Pengarang :