ADNSELANGOR

Wakil rakyat gesa penduduk jaga kebersihan, cegah denggi

SHAH ALAM, 14 JUN: Masyarakat digesa menjaga kebersihan kediaman masing-masing bagi mencegah pembiakan nyamuk aedes, kata ahli dewan negeri Kuala Kubu Bharu.

Lee Kee Hiong berkata langkah itu dapat membendung penularan kes demam denggi yang meningkat kebelakangan ini.

“Saya harap masyarakat berikan kerjasama dengan kerap bersihkan rumah, pastikan tiada tempat yang boleh menjadi punca air bertakung kerana itu salah satu faktor aedes membiak.

“Jangan tunggu sehingga sesuatu musibah menimpa ahli keluarga baru tindakan dibuat. Ini adalah kediaman kita, maka jagalah kebersihan dan keselamatannya,” katanya kepada SelangorKini.

Hiong menerusi Pusat Khidmat Masyarakat Kuala Kubu Bharu turut menyerahkan sumbangan set peralatan semburan nyamuk kepada Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Selangor pagi tadi.

Serahan itu bertujuan memberi kemudahan kepada kakitangan untuk menjalankan semburan menggunakan sejenis bakteria yang akan membunuh jentik-jentik dalam kawasan takungan air.

Sehingga kini Hiong memaklumkan terdapat lima kes demam denggi di kawasannya iaitu melibatkan lokaliti Bandar Utama Batang Kali bagi tempoh minggu epidemik 7 hingga 13 Jun (semalam).


Pengarang :