EXCOSELANGOR

Waspada jangkitan malaria, tingkat pencegahan

SHAH ALAM, 30 JUN: Masyarakat dinasihatkan terus mengambil langkah berjaga-jaga dalam mengurangkan risiko jangkitan malaria walaupun tiada kes baharu dicatatkan, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata orang ramai perlu mengelakkan aktiviti luar pada waktu malam namun sekiranya perlu disarankan memakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang.

“Setakat ini tiada kes baharu tetapi mengambil langkah pencegahan lebih baik kerana kita bimbang ketika dunia dilanda pandemik Covid-19, kes malaria turut sama meningkat. Itu yang kita tidak mahu,” kata beliau ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau turut menasihatkan individu yang mempunyai simptom demam, sejuk dan menggigil juga perlu ke pusat kesihatan bagi mendapatkan rawatan susulan.

Baru-baru ini, Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat mengesan 14 kes malaria membabitkan 13 warga asing dan seorang rakyat tempatan di Ampang.

Jangkitan itu berpunca daripada seorang pekerja Indonesia di tapak pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Klang yang mendapat jangkitan dari negara asalnya.


Pengarang :