AGENDAGLOBAL

WHO: Dunia belum lalui tahap terburuk Covid-19

GENEVA, 30 JUN: Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) memberi amaran tempoh paling buruk Covid-19 belum dilalui lagi walaupun sudah enam bulan dunia dilanda wabak itu.

Ketua WHO berkata enam bulan lalu tiada siapa dapat membayangkan dunia dan kehidupan terumbang-ambing akibat virus baharu itu, lapor AFP.

“Kita mahukan ia berakhir dan menjalani kehidupan seperti biasa, namun hakikatnya ia masih belum dapat ditamatkan, biarpun sesetengah negara dilihat bertambah baik, secara global pandemik ini masih lagi berleluasa.

“Kita semua bersama sepanjang tempoh ini dan perlu lebih banyak ketahanan, kesabaran, sifat kemanusiaan dan murah hati pada bulan mendatang,” kata Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam sidang video secara maya.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus menghadiri sidang akhbar selepas persidangan antarabangsa mengenai penyelidikan vaksin Covid-19 di Geneva pada 12 Februari 2020. Foto AFP

Beliau berkata pandemik itu secara tidak langsung menunjukkan sikap kemanusiaan sebenar, kebaikan dan solidariti tetapi ada juga maklumat yang salah serta virus politik.

“Saya terpaksa mengatakan keadaan yang paling teruk masih dilalui dan dalam keadaan sekarang kita hanya takutkan sesuatu yang paling teruk saja,” katanya.

Beliau turut memaklumkan WHO akan menghantar pasukan ke China bagi mencari punca Covid-19 yang kini sudah meragut lebih 500,000 nyawa dan menjangkiti lebih 10 juta orang di seluruh dunia.

“WHO sudah mendesak China sejak Mei lalu untuk menjemput mereka menyertai pasukan pakarnya bagi menyiasat punca utama Covid-19,” katanya.


Pengarang :