Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menerima 365 bungkus juadah berbuka puasa sumbangan Hotel De Palma Shah Alam untuk diagihkan kepada sembilan rumah anak yatim di Selangor pada 14 Mei 2020. Foto ihsan Yide
AGENSISELANGOR

Yide selesai agih RM827,000 bantuan hari raya, PKP

SHAH ALAM, 9 JUN: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) mengagihkan RM827,000 bantuan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada anak yatim, petugas barisan hadapan dan keluarga mangsa Covid-19, kata pengurus operasinya.

Md Arifin Jaafar berkata daripada jumlah itu sebanyak RM742,000 sumbangan Hari Raya Aidilfitri diagihkan kepada 7,420 anak yatim seliaan yayasan itu sekitar negeri ini.

“Manakala, selebihnya adalah bantuan PKP iaitu bekalan set kelengkapan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada hospital dan klinik kesihatan di Selangor serta bekalan barangan keperluan asas kepada keluarga pesakit Covid-19 dan petugas barisan hadapan,” katanya kepada SelangorKini.

Md Arifin berkata pihaknya menzahirkan terima kasih kepada penyumbang dan semoga sumbangan ini diteruskan lagi pada masa akan datang.

“Yide harap individu atau mana-mana agensi teruskan menyumbang kerana setiap sumbangan anda akan mendapat pengecualian cukai. Sumbangan secara dalam talian boleh dibuat menerusi laman sesawang Yide di www.yide.com.my,” kata beliau.


Pengarang :