Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid menunjukkan laporan Audit Negara pada sidang media Laporan Aktiviti Kementerian/Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan tahun 2018 Siri Tiga dan Laporan Aktiviti Jabatan/Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Tahun 2018 Siri Tiga pada 14 Julai 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

1,000 pegawai kena tindakan hasil laporan ketua audit sejak 2012

PUTRAJAYA, 14 JULAI: Seramai 1,000 pegawai diambil tindakan susulan bagi pelbagai kesalahan berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2012 hingga 2018.

Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid berkata dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2018 Siri 3 itu, daripada jumlah itu, 255 pegawai dihukum, 604 lagi bebas dan 141 masih dalam prosiding.

Antara tindakan diambil adalah amaran (141), tangguh pergerakan gaji (26), denda (11), turun gaji (10), denda dan amaran (sembilan), surcaj dan amaran (sembilan), turun gaji dan amaran (tujuh), buang kerja (tiga) dan turun pangkat (satu).

Selain itu, katanya 29 pegawai dikenakan surcaj, dijatuhkan hukuman oleh mahkamah (dua), denda dan surcaj (dua), turun gaji dan denda (satu) serta turun pangkat dan amaran (satu).

“Kadang-kadang kita merasakan bahawa jabatan agak berlembut yang mana hukuman agak ringan tetapi jabatan audit tidak boleh campur tangan kerana kita cuma buat audit dan menemukan ketidakpatuhan sahaja,” katanya pada sidang media Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2018 Siri 3, di sini, hari ini.

Nik Azman berkata Jabatan Audit Negara (JAN) menghormati keputusan yang diambil jawatankuasa di setiap jabatan yang melakukan siasatan mungkin turut mengambil kira faktor lain dalam membuat penilaian.

“Mungkin JAN nampak hukuman itu ringan tetapi jabatan itu mungkin mengambil faktor-faktor tertentu atau faktor mitigasi lain yang boleh mengurangkan hukuman tersebut,” katanya.

Nik Azman berkata setiap kali pengauditan dilakukan, JAN akan melaksanakan audit susulan bagi mengetahui lebih mendalam sebab dan punca sesuatu perkara berlaku.

“Sebagai contoh kalau terbayar lebih, kita akan buat audit susulan lebih mendalam dan akan lihat apa ia, kenapa berlaku dan siapa bertanggungjawab dan siapa yang memberi kelulusan,” katanya.

JAN seterusnya akan bermesyuarat dengan polis , Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Awam untuk menubuhkan jawatankuasa siasatan dalaman di peringkat jabatan atau kementerian untuk mengenal pasti sama ada berlaku kesilapan, salah guna kuasa atau kecuaian dan mengambil tindakan sewajarnya, katanya.

Nik Azman berkata setiap proses tindakan akan direkodkan dan dimuat naik di portal Auditor-General’s Dashboard.

-BERNAMA


Pengarang :