Anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) memecahkan pintu premis ketika Op Terjah di pusat perniagaan sekitar Jalan Kepayang, Klang Utara pada 10 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

11 premis warga asing disita di Klang

KLANG, 10 JULAI: Sebanyak 11 premis perniagaan haram kendalian warga asing disita di sekitar Lorong Kepayang, Klang Utara dalam Op Terjah bersama Majlis Perbandaran Klang (MPK).

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata sebanyak 36 premis diperiksa meliputi restoran, kedai serbaneka, kedai runcit dan kedai menjual pakaian.

“Kita juga mengesan premis rakyat tempatan disewakan kepada warga asing untuk berniaga malah ada (premis) yang menjual minuman keras tanpa lesen.

“Bagi kesalahan tanpa lesen dan memberi sewa kepada warga asing (ali baba), siasatan diteruskan dan sekiranya melanggar syarat, MPK akan bawa perkara ini ke peringkat jawatankuasa untuk batalkan lesen,” katanya yang ditemui selepas operasi di sini hari ini.

Sze Han berkata pihak berkuasa tempatan itu turut mengeluarkan empat kompaun kepada beberapa premis perniagaan atas pelbagai kesalahan.

Sementara itu, yang dipertua MPK tidak teragak-agak mengambil tindakan lebih tegas terhadap pemilik lesen yang menyalahgunakan permit.

“Kita akan panggil pemilik dan membatalkan (lesen) mereka jika melakukan kesalahan ini. Banyak lagi tindakan menanti jika melanggar peraturan,” kata Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.


Pengarang :