AGENDANASIONAL

11,000 pelajar antarabangsa mohon kembali ke Malaysia

PUTRAJAYA, 8 JULAI: Seramai 11,000 pelajar antarabangsa dari Pakistan, Indonesia dan Thailand memohon untuk kembali meneruskan pengajian di Malaysia.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad berkata mereka merupakan pelajar antarabangsa yang telah pulang ke negara masing-masing semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

“Sebenarnya kita juga ada menerima permohonan pelajar baharu untuk Januari dan Februari (2021) yang berjumlah lebih 9,000 orang, tetapi buat masa ini kita fokus kepada 11,000 pelajar daripada tiga negara teratas ini dahulu untuk masuk ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas mengenai kemasukan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Menjelas lanjut beliau berkata semua pelajar antarabangsa itu perlu menjalani ujian saringan Covid-19 di negara asal masing-masing sebelum dibenarkan masuk ke Malaysia.

“Sekiranya tak ada masalah dia hanya perlu melalui kaunter pemeriksaan imigresen dan dibenarkan masuk tetapi perlu dikuarantin selama 14 hari.

“Sekiranya diragui sijil (kesihatan) mengenai pengesahan pemeriksaan (Covid-19), pelajar berkenaan akan diminta untuk buat saringan semula dan ini juga terpakai kepada pelajar dari negara berisiko tinggi termasuk Indonesia,” kata Noraini.

Kos saringan semula di Malaysia akan ditanggung sendiri oleh pelajar antarabangsa berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :