Petugas Jabatan Kesihatan Daerah Kuala Langat mengambil sampel cecair mulut dan hidung penduduk setempat di Taman Langat Murni, Kuala Langat pada 4 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

133 petugas hadapan di Selangor terima insentif jagaan anak

SHAH ALAM, 2 JULAI: Seramai 133 petugas barisan hadapan di Selangor menerima Insentif Penjagaan Anak-anak Frontliners (IPAF) berjumlah RM63,300 setakat ini.

Penolong pengurus korporat Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) berkata ia membabitkan 88 kakitangan kesihatan, polis (21), Jabatan Pertahanan Awam (15) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (9).

“Permohonan IPAF ditutup secara rasmi semalam (1 Julai) sejak dibuka 20 April lalu dengan 1,419 permohonan diterima dan sedang diteliti.

“Program sepatutnya tamat lebih awal, namun dilanjutkan kerana kita faham semua petugas hadapan menghadapi saat genting membantu negara mengurangkan penularan Covid-19,” kata Sharizan Mohd Shariff kepada SelangorKini hari ini.

Insentif berjumlah RM1.5 juta yang diumumkan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor 2.0 memanfaatkan 2,500 keluarga petugas barisan hadapan.

Mereka yang memenuhi kriteria menerima RM150 untuk seorang anak bagi tempoh dua bulan iaitu Mac dan April serta bebas memilih mana-mana pengasuh atau taska.

 


Pengarang :