Petugas Kementerian Kesihatan melakukan saringan Covid-19 kepada peniaga dan ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di Dewan Beringin Taman Sri Gombak pada 15 Mei 2020. Foto BERNAMA
BERITA UTAMASELANGOR

18 daripada 24 kematian Covid-19 di Selangor libatkan pesakit kronik

SHAH ALAM, 15 JULAI: Sebanyak 18 daripada 24 kematian akibat Covid-19 di Selangor melibatkan pesakit kronik, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata mereka adalah penghidap tekanan darah tinggi seramai sembilan orang, kencing manis (enam), jantung (dua) dan barah (satu).

“Mereka yang menghidap penyakit berkenaan tidak boleh mengawal wabak berkenaan dengan baik.

“Oleh sebab itu Kerajaan Negeri mengambil pendekatan dengan melaksanakan saringan Covid-19 terus ke rumah kepada golongan sasar iaitu warga emas bagi mencegah penularan wabak berkenaan,” katanya menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Kelang, Saari Sungib pada sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Sehingga jam 12 tengah hari semalam, negeri ini merekodkan 2,093 kes Covid-19 dengan satu kes positif baharu.

Kini, lapan daerah termasuk Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat, Hulu Selangor dan Gombak merekodkan zon hijau sementara Sepang masih zon kuning dengan 11 kes aktif.


Pengarang :