Ahli Lembaga Pemegang Amanah Zakat Selangor, Dr Abdul Rahman Abdullah merasmikan Sistem e-Perjanjian di Concorde, Shah Alam pada 17 Julai 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSI SELANGOR

2,000 keluarga dijangka keluar senarai asnaf

SHAH ALAM, 17 JULAI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menjangka 2,000 keluarga keluar daripada senarai asnaf hujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Saipolyazan M Yusop berkata program Blueprint Pembangunan Asnaf tahun lalu berjaya membantu golongan itu dari aspek modal serta pendidikan.

“LZS tidak fokus generasi pertama saja malah generasi kedua diberi bantuan pelajaran dan kemahiran. Apabila mereka bekerja kita harap mereka akan bantu keluarga.

“Setakat ini 16,000 anak asnaf dibantu dan 8,000 masih belajar termasuk di luar negara dalam pelbagai bidang,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Sistem e-Perjanjian, hari ini.

Beliau menjelaskan LZS turut membantu anak golongan itu mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian selain memberi kursus membuat pengenalan diri (resume) serta cara menghadiri temu duga.

“Sekarang kita laksanakan Kempen Jom Kerja di beberapa syarikat seperti Pasar Raya Mydin, Proton, Mr DIY dan Top Glove. Melalui kempen ini kita bantu mereka cari pekerjaan,” katanya.


Pengarang :