Gambar Hiasan
AGENDANASIONAL

24 migran Rohingya dikhuatiri lemas di Langkawi

LANGKAWI, 26 JULAI: Dua puluh empat migran dipercayai etnik Rohingya dikhuatiri lemas di perairan barat pulau ini kira-kira 8 malam tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata pihaknya menerima laporan berdasarkan maklumat polis selepas seorang pengadu yang juga seorang migran memaklumkan dia telah terjun dari sebuah bot bersama 24 mangsa ketika kejadian.

Mohd Zawawi berkata pengadu yang dikenali sebagai Nor Hossain, 27, turut mendakwa hanya dia yang terselamat selepas berenang ke daratan.

“Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Langkawi telah mengatur gerak sebuah aset laut bot Pelindung 2 ke lokasi kejadian, sejurus menerima laporan polis mengenai kejadian tersebut pada 10.30 malam tadi.

“Operasi CARILAMAT hari ini diteruskan melibatkan dua aset laut kapal KM GAGAH dan bot Pelindung 2 serta sebuah helikopter Agusta Westland AW139 merangkumi sektor carian seluas 109 batu nautika persegi barat perairan Langkawi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zawawi berkata Maritim Malaysia Kedah dan Perlis telah menyalurkan maklumat kejadian kepada agensi penyelamat yang lain termasuk komuniti nelayan setempat dan pihak berkuasa Thailand melalui Maritime Rescue Coordinator Center (MRCC) Putrajaya bagi membantu pencarian mangsa.

“Komuniti maritim boleh melaporkan tentang sebarang petunjuk atau penemuan mangsa di laut atau di pesisir pantai kepada pasukan penyelamat menerusi talian 999 ataupun menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis (Langkawi) di talian 04-9662750 atau 04-966 5307,” katanya.

Mohd Zawawi berkata pengadu (Nor Hossain) kini ditahan polis untuk siasatan lanjut.

-BERNAMA


Pengarang :