Kempen larangan merokok dan rokok elektronik (vape) di premis makanan. Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

25 premis makanan kotor, langgar SOP diarah tutup

SHAH ALAM, 18 JULAI: Sebanyak 25 premis makanan di Klang dan Kuala Selangor diarah tutup kerana mengabaikan aspek kebersihan termasuk gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman berkata arahan itu dikeluarkan dalam Ops Bersepadu Premis Makanan yang dijalankan ke atas 162 restoran dan kedai makan kelmarin.

“20 premis ditutup mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983 dan lima premis ditutup atas kesalahan tidak mematuhi SOP PKPP di bawah Seksyen 18 (1)(f), Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Semua premis yang diarah tutup mengikut Akta Makanan 1983 diberi tempoh14 hari untuk melakukan kerja pembersihan manakala premis tidak mematuhi SOP PKPP diarah tutup tujuh hari,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata 146 notis kesalahan dengan nilai keseluruhan RM101,450 turut dikeluarkan kepada pemilik premis dan pekerja yang dikesan melakukan pelbagai kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Katanya sebanyak 10 notis kesalahan melibatkan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dikeluarkan kepada pelanggan kerana merokok di premis makanan dengan nilai tawaran kompaun RM2,500.

Operasi tersebut diselaraskan Unit Inspektor dan Perundangan JKNS dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang dan Kuala Selangor dengan kekuatan 125 pegawai diberi kuasa termasuk 15 anggota polis.


Pengarang :