Petugas kesihatan memegang kit ujian sebelum membuat proses calitan bagi mengumpul sampel Covid-19 di Gombak pada 22 April 2020. Foto AFP
AGENDANASIONAL

2,696 individu dikuarantin, 11 dirawat di hospital

SHAH ALAM, 30 JULAI: Seramai 2,696 individu yang pulang dari 22 negara menjalani kuarantin wajib selama 14 hari setakat semalam.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata mereka adalah rakyat tempatan dan warga asing yang ditempatkan di 11 hotel serta lima institut latihan awam di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan dan Selangor.

“Daripada jumlah itu, 11 individu dihantar ke hospital untuk menerima rawatan,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media hari ini.

Beliau memaklumkan polis melakukan 1,711 pemeriksaan terhadap individu yang menjalani kuarantin di kediaman masing-masing.

Katanya, polis dengan kerjasama Kementerian Kesihatan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan mereka mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Kerajaan memandang serius insiden (individu) tidak patuh SOP kuarantin wajib yang menyebabkan penularan jangkitan bukan sahaja kepada ahli keluarga tetapi masyarakat sekeliling.

“Justeru, orang ramai diminta membuat laporan kepada polis sekiranya terdapat individu yang memakai gelang kuarantin keluar ke tempat awam,” katanya.

Bermula 24 Julai, kerajaan memutuskan semua individu yang pulang dari luar negara dan warga asing yang memasuki Malaysia menjalani kuarantin wajib di stesen yang ditetapkan.


Pengarang :