Salah sebuah pangsapuri yang menawarkan Skim Smart Sewa di Jalan Kapar, Klang. Foto SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

2STAY penuhi hasrat B40 miliki kediaman sendiri

SHAH ALAM, 13 JULAI: Skim Smart Sewa To Ownership (2STAY) diperkenal bagi membantu golongan berpendapatan rendah (B40) memiliki kediaman sendiri pada harga kurang RM200,000.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata skim dua fasa itu meliputi Smart Sewa dengan tempoh sewa minimum dua hingga lima tahun dan tempoh pemilikan di bawah ‘Rent to Own’.

“Selepas tamat tempoh sewa, penyewa diberi pilihan untuk beli atau sebaliknya. Jika tidak mahu, mereka perlu pindah dan mendapat semula 30 peratus bayaran sewa,” katanya ketika membentangkan pakej rangsangan ekonomi fasa ketiga di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Pelan pemulihan itu menekankan tiga tonggak utama iaitu jaminan bekalan makanan, kemampanan ekonomi dan pembangunan keupayaan bagi menangani dampak Covid-19.

Jumlah keseluruhan nilai ekonomi bagi pakej tersebut ialah RM55.85 bilion.

Sementara itu, Amirudin berkata penyewa yang membeli kediaman tersebut menerima 30 peratus bayaran sewa terkumpul yang dijadikan wang pendahuluan dan baki perlu dijelaskan secara ansuran.

Kerajaan Selangor memperkenalkan inisiatif Skim Smart Sewa pada 2016 bagi membantu golongan berpendapatan rendah untuk menyewa sambil menyimpan.


Pengarang :