Sebahagian warga tempatan yang dikuarantin di Hotel Impiana, Kuala Lumpur pada 16 April 2020 melambaikan tangan tanda sokongan kepada barisan hadapan yang bertugas merawat jangkitan Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

319 individu jalani kuarantin wajib di lokasi ditetapkan

SHAH ALAM, 25 JULAI: Seramai 319 individu pulang dari luar negara semalam menjadi kumpulan pertama menjalani kuarantin wajib 14 hari di lokasi ditetapkan kerajaan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata semua mereka ditempatkan di empat stesen di Kuala Lumpur, Johor dan Negeri Sembilan.

“Mereka tiba dari Indonesia, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu (UAE), China dan Australia. Kos kuarantin ditanggung sendiri termasuk ujian saringan Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mulai semalam, warga asing dan rakyat Malaysia yang tiba dari luar negara diwajibkan menjalani kuarantin di stesen tertentu susulan peningkatan kes import dan ketidakpatuhan tatacara operasi piawai (SOP) hingga menyebabkan peningkatan risiko penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama polis akan membuat pemeriksaan mengejut terhadap 9,600 individu yang masih menjalani proses kuarantin di rumah bagi memastikan mereka patuh SOP.


Pengarang :