Keadaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10 Mac 2020 yang lengang susulan penularan Covid-19 di seluruh dunia. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

40 jemaah tabligh terkandas di India tiba hari ini

SHAH ALAM, 22 JULAI: Seramai 40 jemaah tabligh yang terkandas di India dijadual tiba di tanah air hari ini, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka antara yang gagal pulang melalui penerbangan misi kemanusiaan pada 17 Julai lalu.

“Mereka pulang menggunakan penerbangan Air India Express dan mengambil kira faktor risiko jangkitan dan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan, Bangi.

“Pusat kuarantin diselia petugas Kementerian Kesihatan dan dikawal ketat polis. Pihak luar termasuk ahli keluarga tidak dibenarkan melawat dan semua pihak diminta mematuhi arahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jumaat lalu, seramai 62 jemaah tabligh dibawa pulang dalam misi kemanusiaan menggunakan penerbangan sewa khas Malindo Air yang diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara.

Mereka antara 96 rakyat Malaysia termasuk kakitangan kedutaan serta rakyat Malaysia yang terkandas disebabkan lapangan terbang di India ditutup.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata seramai 22,869 individu disaring di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa dan 22,791 daripadanya negatif Covid-19 serta menjalani kuarantin wajib di kediaman masing-masing.


Pengarang :