Foto Sumber: IPD Petaling Jaya
AGENDANASIONAL

41,775 kenderaan diperiksa kekang kemasukan pendatang

SHAH ALAM, 2 JULAI: Sebanyak 41,775 kenderaan diperiksa menerusi 66 sekatan jalan raya Op Benteng di seluruh negara semalam bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) terutama di lorong tikus.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata operasi tersebut untuk mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi golongan berkaitan dan mengekang jenayah rentas sempadan selain penularan Covid-19.

“Dalam operasi itu 16 warga asing ditahan kerana kesalahan imigresen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Op Benteng membabitkan kerjasama dari polis, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia.

Mengulas mengenai operasi sanitasi awam di negara ini, Ismail Sabri berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melakukan 9,082 operasi nyahcemar merangkumi 134 zon sejak 30 Mac lalu.

Katanya, 12,613 premis telah disanitasi yang terdiri daripada 2,679 pusat perniagaan, 5,469 bangunan kerajaan, 1,591 kawasan perumahan, 2,520 tempat awam dan 354 pasar raya.


Pengarang :