Penghuni Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Gembira, Mohd Ridzuan Zakaria, 21, tekun melakukan kerja-kerja menyembat hujung baju ketika menyiapkan tempahan baju raya pelanggan pada 14 Mac 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

562 PDK beroperasi semula bulan depan – Rina

GEORGE TOWN, 19 JULAI: Sebanyak 562 buah pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di seluruh negara akan beroperasi semula pada bulan depan mengikut tatacara operasi piawai kerajaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata buat masa ini pihaknya sedang dalam proses untuk mendapatkan kelulusan SOP daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Ketika ini kita ada seramai 20,303 orang pelatih. Semua PDK akan dibuka, sudah pasti ada SOP tertentu yang perlu diikuti berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Interaksi Bersama Program PDK di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan bantuan kewangan berjumlah RM3.4 juta untuk 25 PDK di Pulau Pinang bagi menampung elaun pelatih orang kelainan upaya (OKU), sagu hati penyelia dan petugas, sewaan premis dan utiliti.

PDK adalah strategi dalam pembangunan komuniti setempat bagi pemulihan, latihan, pendidikan, penyamaan peluang dan integrasi sosial OKU.

Mengulas mengenai permohonan untuk menaikkan elaun penyelia dan petugas PDK, Rina berkata beliau sedia maklum mengenai perkara itu dan beberapa siri mesyuarat bersama agensi berkaitan telah diadakan untuk membincangkan permohonan tersebut.

Menurutnya, semua pandangan yang diterima akan dibawa ke Kementerian Kewangan untuk diperhalusi dan dipertimbangkan dengan sewajarnya.

“Saya dapat maklum balas daripada pengerusi PDK minta kalau boleh dinaikkan elaun, sekarang kita bayar RM800 sebulan dan mereka bertugas dari 8 pagi hingga 12 tengah hari.

“Kita faham dalam keadaan sekarang ini, kalau kita lihat sebenarnya ramai yang terjejas pendapatan. Kerana itu, baru-baru ini kerajaan naikkan kadar garis kemiskinan daripada RM960 kepada RM2,208. Ini adalah komitmen kerajaan untuk melihat situasi sebenar mereka,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :