Penjawat awam mengimbas kod QR menggunakan sistem SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) ketika berada di Bangunan SUK Shah Alam pada 14 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

6.15 juta individu guna aplikasi SELangkah – MB

SHAH ALAM, 15 JULAI: Seramai 6.15 juta individu menggunakan aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) yang dibangunkan Kerajaan Selangor.

Dato’ Menteri Besar berkata angka berkenaan sekali gus menghampiri jumlah keseluruhan rakyat negeri itu yang berjumlah 6.5 juta orang.

“Oleh itu kita boleh beranggapan 95 peratus penduduk Selangor menggunakan aplikasi berkenaan, dan penduduk Kuala Lumpur adalah kedua tertinggi yang menggunakannya.

“Pada masa sama, 77,470 premis menggunakan sistem berkenaan di premis mereka dan 332 diimbas melalui sistem khidmat pesanan ringkas (SMS),” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada sesi penggulungan Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor pada Sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Amirudin juga menegaskan data peribadi individu menggunakan aplikasi SELangkah dikawal sepenuhnya oleh Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor.

“MBI akan pastikan data-data ini menjadi hak milik Kerajaan Negeri dan hanya menggunakannya untuk tujuan pencarian kontak rapat Covid-19 sahaja,” katanya.

SELangkah mula diperkenalkan 4 Mei lalu bagi menjejak jangkitan virus di premis perniagaan atau pejabat bagi memudahkan pengesanan kontak jika berlaku jangkitan.

Pemilik premis hanya perlu mencetak kod QR melalui portal selangkah.mbiselangor.com.my atau selangkah.my dan mempamerkannya untuk diimbas pengunjung.

Ia hanya memerlukan maklumat nama dan nombor telefon tanpa mendedahkan data peribadi individu.


Pengarang :