Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

85 peratus projek pembinaan terhenti semasa PKP diteruskan semula

KUANTAN, 25 JULAI: Sebanyak 85 peratus projek pembinaan di seluruh negara membabitkan kontrak kerajaan yang terhenti ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), diteruskan semula setakat ini, kata Menteri Kanan (Infrastruktur) Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata baki 15 peratus lagi masih belum dapat diteruskan kerana kontraktor terlibat menghadapi masalah seperti kekurangan bekalan bahan binaan atau tenaga kerja selain ada yang mengalami masalah aliran tunai.

“Kita juga telah memberikan lanjutan masa secara automatik selama tiga bulan bagi semua projek pembinaan membabitkan kontrak kerajaan mengambil kira faktor mereka tidak boleh bekerja semasa pelaksanaan PKP sejak 18 Mac lepas.

“Jika mereka memerlukan lebih masa, mereka perlu membuat permohonan dan kita akan menilai sebab dan asas permohonan sebelum memberi lebih banyak tempoh lanjutan, berbanding tiga bulan yang telah ditetapkan,” katanya.

Fadillah berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Projek Jambatan Baharu Tanjung Lumpur di sini hari ini, yang menghubungkan Bandar Putra dan bandar Kuantan, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi Pahang Datuk Seri Norol Azali Sulaiman.

Beliau berkata kementerian juga mengambil maklum permasalahan yang dihadapi kontraktor terlibat untuk dijadikan input dalam melaksanakan dasar dan bantuan kerajaan kepada pihak terlibat pada masa hadapan, mengambil kira ini merupakan kali pertama negara berhadapan dengan situasi seumpamanya.

Mengulas mengenai pembinaan jambatan berkenaan, Fadillah berkata jambatan sepanjang 451 meter yang melibatkan kos sebanyak RM155.8 juta itu dijangka siap pada 25 Sept ini dengan status kemajuan kini sebanyak 93 peratus.

“Kerajaan juga telah meluluskan projek jejambat bernilai RM47 juta dari persimpangan Bukit Setongkol ke Kemunting di Jalan Kuantan-Gambang bagi mengurangkan kesesakan di jalan masuk jambatan apabila ia dibuka kelak,” katanya.

Pembinaan jambatan kedua Tanjung Lumpur itu bermula Ogos 2016 dan dijangka dapat mengurangkan kesesakan di jambatan sedia ada, selain memendekkan perjalanan dari Gambang ke Tanjung Lumpur, tanpa pengguna perlu melalui bandar Kuantan.

– BERNAMA


Pengarang :