Mural pemimpin negara dan ketua pengarah kesihatan yang diconteng dengan kata-kata kesat dicat putih ketika tinjauan di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam pada 20 Julai 2020. Foto NORRASYIDAH ARSHAD/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

ADN: Potret Raja-Raja Melayu perlu dipapar di tempat strategik

SHAH ALAM, 21 JULAI: Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik berpandangan potret Raja-Raja Melayu lebih baik dipaparkan di ruang lebih strategik dan terpelihara seperti di galeri, muzium, parlimen atau pejabat kerajaan.

Mohd Najwan Halimi berkata perkara itu bagi menjamin setiap visual berkaitan kemuliaan Raja-Raja Melayu tidak mudah dicemar atau dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan vandalisme, mencemar dan merosakkan karya mural memaparkan potret Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong di Seksyen U12, semalam.

“Justeru, sebagai anak Selangor dan wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik, saya serta masyarakat di sini tidak boleh menerima sebarang perbuatan tidak bertamadun yang merosakkan karya seni dalam apa jua bentuk,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Najwan menyarankan setiap masyarakat termasuk pelukis dan seniman agar lebih sensitif meletakkan sesebuah karya terutama berkaitan institusi diraja kerana ia perlu dijaga melampaui imej atau mesej politik dan tidak meletakkannya sebaris dengan pemimpin politik.

Pada masa sama, beliau turut menawarkan khidmat dan sedia membantu pelukis mural terbabit untuk mencurahkan kreativiti di tempat sesuai selaras imej serta mesej disampaikan.

Mural tersebut memaparkan wajah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah dan beberapa pemimpin Malaysia yang dilukis oleh Muhammad Suhaimi Ali, 27; Muhamad Firdaus Nordin, 26; dan Abdul Hadi Ramli, 27.


Pengarang :