AGENDANASIONAL

Adun Slim meninggal dunia pada usia 59 tahun

IPOH, 15 JULAI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim yang juga Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib meninggal dunia di Bentong, Pahang, petang ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Saarani Mohamad ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu, namun berkata beliau tidak mempunyai maklumat lanjut.

“Jenazah sekarang berada di Hospital Bentong dan saya dalam perjalanan ke sana,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim yang juga Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib

Menurutnya berdasarkan maklumat yang diperoleh, Mohd Khusairi, 59, tiba-tiba rebah ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf & Country Resort.

Terdahulu, berita kematian ADUN itu dikongsikan menerusi laman media sosial pemimpin Umno negeri dan pusat.

Sementara itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata Mohd Khusairi meninggal dunia akibat serangan jantung.

Katanya beliau bagi pihak seluruh rakyat dan anggota pentadbiran kerajaan negeri merakamkan ucapan takziah kepada keluarga arwah Mohd Khusairi dan menyifatkan kehilangan Adun Slim itu sebagai satu kehilangan besar kepada Perak dan rakyat di kawasan DUN Slim serta Umno Tanjung Malim.

-BERNAMA


Pengarang :