Yang Di-Pertua MPK, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin melupuskan barang rampasan di Jabatan Perkhidmatan Persekitaran pada 29 Julai 2020. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Ahli Majlis MPK diminta didik masyarakat perangi denggi

KLANG, 30 JULAI: Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) digesa kerap turun ke kawasan masing-masing bagi mendidik orang ramai menjaga persekitaran dalam memerangi kes denggi.

Yang Dipertuanya, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata masyarakat dilihat semakin lupa bahaya penyakit itu kerana mereka lebih tertumpu kepada Covid-19.

“Sebelum ini memang banyak kempen dan program dijalankan kepada komuniti, tetapi kes (denggi) masih tinggi. Ini bermakna didikan kepada masyarakat perlu dipertingkatkan lagi.

“Jadi, kita minta Ahli Majlis untuk berkomunikasi dengan komuniti mereka terutama di kawasan strata yang berisiko tinggi kes denggi berbanding rumah teres,” katanya.

Beliau menambah Ahli Majlis perlu memanfaatkan peruntukan Kerajaan Negeri dengan memperbanyakkan kempen dan program pencegahan seperti semburan kabus di kawasan seliaan masing-masing.

Jabatan Kesihatan Selangor memaklumkan sebanyak 33,382 kes demam denggi direkodkan di negeri ini membabitkan 32 kematian sehingga 25 Julai lalu, menurun 21.8 peratus dalam tempoh sama berbanding tahun lalu.

Lima daerah utama mencatat kes demam denggi tertinggi ialah Petaling (11,869 kes), Hulu Langat (6,279 kes), Klang (6,049 kes), Gombak (4,791 kes) dan Sepang (1,863 kes).


Pengarang :