Datuk Seri Ahmad Maslan (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan gagal isytihar RM2 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada LHDN dan memberi pernyataan palsu kepada SPRM pada 21 Januari 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Ahmad Maslan gagal batal tuduhan isytihar RM2 juta

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak permohonan Datuk Seri Ahmad Maslan untuk dibebaskan daripada tuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hakim Azman Ahmad membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa permohonan yang difailkan oleh Ahmad, 54, untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapinya pada 11 Februari lepas adalah pramatang.

Beliau turut berpandangan bahawa pertuduhan yang dihadapi oleh ahli parlimen Pontian dan bekas timbalan menteri kewangan itu tidak cacat dan berasas.

Hakim itu membuat keputusan tersebut selepas mendengar hujahan lisan dan bertulis daripada kedua-dua pihak selepas mempertimbangkan nas undang-undang.

“Oleh itu mahkamah menolak permohonan pemohon (Ahmad),” katanya

Peguam Hamidi Mohd Noh, yang mewakili Ahmad, kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu secepat mungkin.

Mahkamah seterusnya menetapkan tarikh perbicaraan pada 1, 2, 16 dan 23 Oktober serta 6 November dan 24 Disember depan selain menetapkan 4 September ini untuk sebutan kes.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria hadir bagi pihak pendakwaan.

Terdahulu, Ahmad yang berpakaian sut lengkap kelabu tiba di mahkamah pada jam 8.45 pagi.

Dia didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar berjumlah RM2 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri itu kepada LHDN dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Ahmad didakwa telah menerima wang tersebut, yang dipercayai sebagai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013, dan cek itu telah ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari yang sama.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini, pada 30 April 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad didakwa telah memberi penyataan palsu kepada SPRM semasa percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat SPRM iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal, berhubung isu itu di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini antara jam 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA


Pengarang :