(Hiasan) Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan cuba menculik seorang kanak-kanak tujuh tahun. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Aksi ‘Superman’: Dua remaja dihukum khidmat masyarakat 120 jam

KUALA LUMPUR, 8 JULAI: Dua remaja lelaki masing-masing diperintah menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, kerana menunggang motosikal secara melulu dan merbahaya dengan melakukan aksi ala ‘Superman’, Mei lepas.

Majistret Puteri Nursheila Rahimi menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammad Amirul Ikmal Abdul Sham, 20, dan Muhammad Zahiruddin Anuar, 19, selepas mereka mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE), di sini antara 12.20 pagi dan 2.23 pagi, 20 Mei lepas.

Kedua-dua tertuduh itu yang merupakan pekerja restoran makanan segera, juga diperintah membayar cagaran RM2,000 dengan seorang penjamin, selain hilang kelayakan memegang dan mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.

Bagi Muhammad Zahiruddin, lesen percubaannya turut dibatalkan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000, serta hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu, selama dua tahun.

Terdahulu, mereka yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum, manakala Pegawai Pendakwa Inspektor Abdullah Khazali memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada mereka.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua remaja itu ditahan selepas pihak polis yang melakukan ‘Op Samseng Jalanan’ di Lebuhraya DUKE, telah membuat rakaman video menggunakan telefon bimbit telah ternampak sekumpulan penunggang motosikal membuat aksi superman, dengan merapatkan dada di tempat duduk motosikal sambil meluruskan kaki ke belakang.

-BERNAMA


Pengarang :