Selangorkini
Datuk Huzir Mohamed. Foto BERNAMA
AGENDA JENAYAH

Al-Jazeera: Polis terima lima laporan

KUALA LUMPUR, 7 JULAI: Lima laporan polis diterima berkaitan dokumentari yang diterbitkan media antarabangsa Al-Jazeera berhubung cara Malaysia menangani pendatang tanpa izin ketika usaha mengekang penularan Covid-19.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata polis juga telah mengenal pasti beberapa individu yang terlibat bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Beliau berkata polis akan memanggil wartawan Al-Jazeera serta semua yang terlibat dalam membuat liputan berita yang dimaksudkan dalam masa terdekat.

“Polis telah memulakan siasatan ke atas Al-Jazeera yang membuat liputan tidak tepat berkenaan layanan terhadap warga asing ketika negara memerangi pandemik Covid-19.

Laporan yang tidak berasas dan berat sebelah itu telah menimbulkan kegusaran serta kebimbangan majoriti rakyat negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Huzir menegaskan bahawa tiada siapa yang akan terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya terdapat cubaan daripada pihak-pihak tertentu untuk memburukkan imej Malaysia di mata dunia.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 iaitu menghasut, Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menyiarkan berita fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan rangkaian perkhidmatan secara tidak wajar,” katanya.

Hari ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata polis akan memanggil pengendali Al- Jazeera dan wartawannya yang berkaitan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan kes itu.

Menurut Abdul Hamid, siasatan akan dilakukan menurut beberapa peruntukan undang-undang di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan.

Al-Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani penularan COVID-19.

– BERNAMA


Pengarang :