Sebuah restoran di Seksyen 19, Shah Alam diarah tutup serta-merta akibat ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dalam Operasi Pemantauan Kedai Makan dan Restoran oleh MBSA bersama polis pada 2 Jun 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Amaran tutup restoran bagi pemilik ingkar SOP penjarakan sosial

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Mana-mana pemilik dan pengunjung premis makanan yang tidak mengendahkan tatacara operasi piawai (SOP) penjarakan sosial akan dikenakan tindakan tegas termasuk premis itu akan ditutup.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini kerana masih terdapat pengusaha yang tidak mengendahkan SOP berkenaan sehingga menimbulkan kluster baharu di restoran makanan.

“Oleh sebab itu, kerajaan telah memutuskan untuk mengambil tindakan tegas ke atas pemilik ataupun pengusaha kedai makan dan restoran serta pengunjung yang gagal mematuhi peraturan dan SOP sama ada kompaun, tindakan mahkamah atau pun penutupan restoran,” katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Parlimen hari ini.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media di Bangunan Parlimen pada 16 Julai 2020. Foto BERNAMA

Kerajaan sebelum ini telah menetapkan penjarakan sosial perlu dipatuhi oleh pengusaha-pengusaha kedai makanan serta restoran dan kelonggaran telah diberikan mengikut saiz meja dan juga keluasan premis.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 19 Julai mengesahkan wujud satu kluster baharu Covid-19 yang telah dikesan di sebuah restoran di Brickfields di ibu negara.

Hasil saringan rawak di lapangan oleh Pejabat Kesihatan Daerah mendapati dua kes dikesan positif dalam kluster itu melibatkan dua bukan warganegara iaitu warga India yang merupakan kes indeks kluster itu (iaitu kes ke-8,666) dan kontak rapat kes itu.

Seramai 250 orang iaitu 14 orang pekerja restoran dan 236 orang pelanggan restoran telah disaring dan punca masih disiasat.

– BERNAMA


Pengarang :