AGENSISELANGOR

Anak muda Hulu Selangor bersihkan rumah mangsa banjir

SHAH ALAM, 22 JULAI: Seramai 25 anak muda sekitar Hulu Selangor mengadakan gotong-royong secara berperingkat bermula Ahad lalu bagi membantu mangsa banjir daerah terbabit.

Pegawai khas Dato’ Menteri Besar berkata ia adalah inisiatif kumpulan belia di kawasan itu berpadu tenaga membersih rumah berterusan hingga hujung minggu memandangkan hujan hampir setiap hari.

“Program disertai anak muda dari Friend of Selangor dan Team Selangor termasuk skuad Keadilan Hulu Selangor. Ada beberapa rumah yang masih menunggu giliran, kami mahu meringankan beban mangsa banjir dan akan cuba bantu semua,” kata Saifuddin Shafi Muhammad kepada SelangorKini semalam.

Beliau berkata mereka turut menyumbang bantuan makanan asas kepada 100 keluarga.

Sabtu lalu banjir kilat berlaku di 22 kawasan di Hulu Langat diikuti Sepang (14), Hulu Selangor (4) Gombak (dua) dan Klang (satu).


Pengarang :