Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim.
AGENDANASIONAL

Anwar: Bahas isu rakyat, bukan tumpu singkirkan speaker

SHAH ALAM, 5 JULAI: Ahli parlimen harus menggunakan Dewan Rakyat untuk membincangkan masalah rakyat, bukan menumpu usaha menyingkirkan speaker dan timbalannya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menegaskan Pakatan Harapan (PAKATAN) akan mempertahankan kedudukan kedua-dua pemimpin tersebut pada persidangan pada 13 Julai ini.

“Kita harus tegas pertahan kedudukan speaker dan timbalan speaker yang dipilih secara sah dan gunakan masa untuk pertahankan hak rakyat sebagai ahli parlimen,” kata pengerusi PAKATAN menerusi siaran langsung Facebook malam tadi.

Pada akhir Jun lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat usul untuk menyingkirkan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan timbalannya Nga Kor Ming.

Pada 2 Julai lalu, Majlis Setiausaha PAKATAN menyatakan keazaman mereka untuk mengekalkan kedudukan Mohamad Ariff dan Nga.

Pada perkembangan lain, presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) memuji belia yang menyertai sidang Parlimen Digital kerana berbahas isu rakyat.

Beliau juga berharap ahli parlimen mencontohi mereka dengan menjadikan sidang Dewan Rakyat untuk berbahas secara lebih matang.


Pengarang :