AGENDANASIONAL

Anwar: Guna hasil cukai atasi masalah rakyat hilang kerja

SHAH ALAM, 4 JULAI: Kerajaan Persekutuan perlu menggunakan hasil cukai bagi menampung keperluan hampir 1.5 juta rakyat yang hilang pekerjaan akibat Covid-19, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden KEADILAN berkata pendekatan itu penting supaya isu pengangguran ditangani seterusnya negara tidak berdepan masalah sosial dan ekonomi.

“Selaku pemerintah bertanggungjawab, meraka harus mengambil tindakan segera supaya hal ini tidak berlaku,” katanya ketika sesi siaran langsung menerusi Facebook malam ini.

Dalam isu berkaitan, Anwar berkata ahli akademik dan profesional pula perlu bekerjasama untuk mengkaji dasar lebih jelas bagi menentukan hala tuju negara terutama dalam bidang pertanian, alam sekitar dan kesihatan.

Beliau juga percaya negara mampu menjimatkan perbelanjaan secara berperingkat kerana dianggarkan hampir RM52 bilion dibelanjakan setiap tahun untuk mengimport makanan.

“Keupayaan hospital sedia ada juga perlu diteliti semula bagi memenuhi keperluan tambahan pada masa hadapan dengan peningkatan masalah kesihatan seperti kencing manis dan obesiti,” kata ahli parlimen Port Dickson.


Pengarang :