Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim.
AGENDANASIONAL

Anwar risau campur tangan kerajaan dalam Petronas

SHAH ALAM, 2 JULAI: Datuk Seri Anwar Ibrahim risau campur tangan kerajaan dalam Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menyebabkan unjuran penilaian terhadap syarikat minyak nasional itu merosot.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata penilaian semula badan penarafan dunia S&P Global daripada stabil kepada negatif boleh mengakibatkan ketidakstabilan pasaran syarikat itu.

“Ketidakstabilan di Petronas memberi dampak negatif kepada ekonomi negara dan mengesankan pelabur antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin meletak jawatan selepas lima tahun menerajui satu-satunya syarikat Malaysia yang tersenarai dalam Fortune 500.

Peletakan jawatan sedangkan kontrak Wan Zulkiflee sepatutnya berakhir pada April 2021 menimbulkan pelbagai spekulasi dalam negara ini.

Ahli Parlimen Port Dickson berkata rakyat tertanya-tanya punca sebenar peletakan jawatan di syarikat yang bertanggungjawab menyelia khazanah dan hasil negara.

“Gabungan pembangkang menuntut penjelasan menyeluruh dan tuntas terkait isu ini. Kegagalan Petronas untuk meleraikan persoalan ini akan mengundang ketidakpercayaan yang akan mengeruhkan lagi keadaan semasa,” katanya.


Pengarang :