AGENDANASIONAL

Art Harun, dari mahkamah dan SPR ke parlimen

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Datuk Azhar Azizan Harun, 58, yang dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu, merupakan seorang yang arif tentang undang-undang.

Lebih dikenali dengan panggilan Art Harun, anak jati Kedah yang dilahirkan pada 26 Oktober 1962 ini merupakan lulusan Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya dan Sarjana Undang-Undang dari King’s College, University of London.

Mempratikkan kerjaya dalam bidang guaman sejak 1987, beliau pernah berkhidmat sebagai peguam di beberapa firma guaman antaranya Allen & Gledhil, Khaw & Hussain, Tetuan TH Su & Rakan, Tetuan Lamin & Co, Tetuan Hisham Sobri & Kadir, Tetuan Shafee & Co, dan terakhir di Messrs KH Koh, Azhar & Koh sejak 1992.

Azhar Azizan yang dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 21 September 2018 menggantikan Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, telah meletak jawatan sebagai pengerusi SPR pada 29 Jun lepas.

Pada 9 September 2019, beliau dianugerah Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran “Datuk”, daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersempena Hari Keputeraan rasmi Seri Paduka.

Azhar Azizan dan Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said dalam sesi Parlimen hari ini dicadangkan sebagai Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Nama kedua-dua mereka diusulkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan Nga Kor Ming sebagai Yang diPertua Dewan Rakyat dan Timbalan Yang diPertua Dewan Rakyat.

Sepanjang berkhidmat sebagai pengerusi SPR, Azhar Azizan telah melaksanakan beberapa pembaharuan dalam sistem pilihan raya negara antaranya pendaftaran pengundi secara dalam talian yang telah mula dilaksanakan tahun ini.

Pembaharuan lain adalah memperkenal kad mengundi, menyediakan kemudahan-kemudahan untuk pengundi-pengundi kurang upaya dan warga emas.

Memanjangkan tempoh mengundi, menetapkan hari penamaan calon dan pengundian pada hari cuti umum, membuat siaran “live feed” proses penjalanan pilihan raya dari penamaan calon sehinggalah pengisytiharan keputusan juga antara pembaharuan yang dibuat.

Paling signifikan adalah pembabitan Azhar Azizan sebelum pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri Chini di Pekan Pahang 4 Julai lepas yang diadakan dalam situasi normal dan peraturan baharu berikutan penularan wabak Covid-19 di negara ini.

– BERNAMA


Pengarang :