Keadaan jalan raya mendap seluas kira-kira 30 meter persegi di Jalan Klang-Banting berhampiran lampu isyarat Kampung Johan Setia menghala ke Banting ketika tinjauan pada 21 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Baik pulih tanah mendap di Johan Setia siap minggu depan

SHAH ALAM, 28 JULAI: Proses baik pulih tanah mendap di tapak pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) di Jalan Klang-Banting berhampiran Johan Setia siap seminggu lagi.

EXCO kerajaan tempatan berkata ketika ini laluan berkenaan sudah dibuka pada Khamis dan Jumaat lalu namun tidak sepenuhnya.

“Tempoh dijangka dua minggu daripada kejadian berlaku. Kita harap minggu depan siap proses membaiki dan kesesakan jalan raya di situ selesai,” kata Ng Sze Han ketika ditemui selepas Program Publisiti dan Penyertaan Awam Bagi Draf Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) semalam.

Beliau berkata pemaju LRT3 juga diberikan tempoh sebulan untuk menyiapkan laporan penuh berhubung kejadian mendapan terbabit.

“Mereka kena teliti punca masalah selain memerlukan pemetaan lokasi. Pemaju sebelum ini tidak dapat mengenal punca sebenar dan kita beri masa untuk siasatan forensik,” katanya.

Minggu lalu, insiden tanah mendap berlaku di tapak pembinaan LRT3 kira-kira jam 3 petang ketika pekerja projek menanam cerucuk di kawasan tidak rata.


Pengarang :