AGENDANASIONAL

Banci 2020 bantu susun masa depan Malaysia

PUTRAJAYA, 4 JULAI: Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020), yang bermula Selasa ini, adalah satu pengumpulan data komprehensif bagi membantu negara dalam menyusun keperluan dan merencana masa hadapan rakyat Malaysia yang lebih baik.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata menerusi data bancian yang dilaksanakan setiap 10 tahun sejak 1963 itu, kerajaan dapat merangka keutamaan dan strategi yang memberi manfaat kepada penduduk Malaysia keseluruhannya.

“Dengan adanya data yang baik, masa depan negara dapat ditentukan, disusun dari segi apa yang patut dilakukan dan dapatan banci ini akhirnya akan dikembalikan kepada orang ramai dalam bentuk keputusan, perancangan dan dasar yang amat teliti.

“Kita kena ingat, misalnya, bila kita keluarkan bajet tahunan contohnya tahun ini RM280 juta, dan dengan bajet sebanyak itu, data bancian ini yang membantu bagaimana ia dibelanjakan, di sektor mana yang perlu dilebihkan, keutamaan harus kepada apa contohnya pendidikan dan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual di pejabatnya di Jabatan Perangkaan Malaysia di sini sempena Hari Banci Malaysia yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Selasa ini, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Mohd Uzir berkata menerusi bancian di sembilan juta kediaman, data diperoleh dapat membantu negara menyediakan kemudahan dan perkhidmatan digunakan secara bersama seperti jalan raya, utiliti dan perkhidmatan keselamatan seperti bomba dan polis.

Data maklumat itu juga dapat membantu menyediakan perancangan jangka panjang peluang pekerjaan dan pendapatan rakyat bagi memastikan tidak ada penduduk yang tertinggal dalam arus pembangunan dan teknologi termasuk di luar bandar.

“Malaysia sebagai negara yang sedang membangun, kita mempunyai banyak dasar yang sedang dilihat contohnya melibatkan warga emas, pertanian, IR 4.0 dan ekonomi gig, jadi data bancian yang mempamerkan denyut nadi kehidupan rakyat membantu kita memastikan agihan pendapatan itu dapat dinikmati oleh semua,” katanya.

Justeru, beliau berharap penduduk Malaysia tanpa mengira kaum dan status pendapatan, dapat memberi maklumat bancian dengan tepat dan ikhlas bagi memastikan generasi akan datang dapat memperoleh manfaat yang lebih tuntas dan tersusun, sekali gus memberi faedah kepada mereka.

“Saya selalu bangkitkan apa yang kita ada dan nikmati sekarang mungkin sebab kita dah laksanakan bancian dengan baik seawal tahun 70-an secara menyeluruh dan saya yakin pada tahun 70-an semua orang beri kerjasama dalam pelaksanaan banci menyebabkan kita tahu apa yang patut dilakukan oleh kerajaan.

“Data yang baik itu juga membolehkan kita membina banyak sekolah. Kalau dulu universiti susah nak masuk sebab tidak banyak jadi sekarang dah banyak… maka kita kena ingat sumbangan yang terdahulu menyebabkan kita ada sekarang, jadi kini kita pula bertanggungjawab untuk generasi akan datang,” katanya.

Pelaksanaan Banci 2020 yang melibatkan 32.7 juta penduduk Malaysia akan dilaksanakan dalam dua fasa bermula 7 Julai hingga 30 September secara dalam talian (e-Census) manakala fasa kedua akan bermula pada 7 hingga 24 Oktober dengan kaedah temu ramah bersemuka.

Mengenai persiapan Banci 2020, Mohd Uzir berkata ia dimulakan sejak 2017 dengan melaksanakan penyenaraian dan mengemas kini kawasan perumahan di Malaysia termasuk kawasan perumahan baharu.

Kos pengendalian Banci 2020 dianggarkan RM413 juta yang digunakan bagi tujuan projek pembangunan, pembelian sistem dan operasi termasuk pembayaran kepada pembanci dan penyelia terlibat.

Seramai 115,685 anggota akan terlibat dalam pengendalian Banci 2020 termasuk 99,356 pembanci, 14,595 penyelia dan 1,385 pegawai banci yang terdiiri daripada Pesuruhjaya, Timbalan Pesuruhjaya, Penolong Pesuruhjaya dan Penguasa Daerah.

Laporan Banci 2020 dijangka dikeluarkan seawal suku pertama tahun depan dengan pemakluman awal mengenai ciri-ciri demografik penduduk Malaysia.

– BERNAMA


Pengarang :