Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada golongan asnaf dan OKU dalam program di Pangsapuri Berembang Indah, Kuala Lumpur pada 30 Julai 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Bank Makanan Selangor bantu miskin bandar terkesan Covid-19

AMPANG, 30 JULAI: Program Bank Makanan Selangor bakal dilaksanakan bermula September bagi membantu keluarga miskin bandar yang terkesan pandemik Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri memperuntuk RM5 juta bagi memastikan bantuan bekalan makanan dan keperluan asas disampaikan kepada golongan sasaran itu.

“Peruntukan RM5 juta ini sebenarnya telah dimasukkan dalam Belanjawan Selangor tahun ini, namun susulan penularan wabak dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita menyemak semula pelaksanaan program.

“Kerajaan Negeri telah mengenal pasti kawasan sasaran dan golongan penerima, kita harap program boleh dimulakan selewat-lewatnya September,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Masyarakat Pangsapuri Berembang Indah, hari ini.

Amirudin berkata negeri ini melakukan sehabis baik bagi menangani impak wabak terutama untuk mengurangkan beban dan kesengsaraan rakyat.

“Cuma kita tidak mungkin dapat puaskan hati semua pihak, untuk penuhi keperluan semua adalah mustahil tetapi Selangor merupakan negeri yang menyediakan pelbagai inisiatif sejak Covid-19 melanda,” katanya.

Selangor negeri paling awal mengumumkan bantuan kepada golongan sasaran menerusi pakej rangsangan ekonomi Selangor Prihatin pada 20 Mac, hari ketiga pelaksanaan PKP.

Ketika Kerajaan Persekutuan dan negeri lain masih membuat kira-kira, Selangor membentang pakej bantuan berjumlah RM127.8 juta.

Pada 1 April, Kerajaan Negeri mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin fasa kedua berjumlah RM272.5 juta diikuti pelan pemulihan ekonomi negeri jangka sederhana yang dibentangkan dalam Sidang Dewan Negeri Selangor pada 13 Julai.

Pelan itu, lanjutan dua fasa pakej rangsangan Selangor Prihatin pada Mac dan April lalu, berasaskan tiga tonggak utama iaitu jaminan bekalan makanan, kemampanan ekonomi dan pembangunan keupayaan. Keseluruhan nilai rancangan tersebut adalah RM55.85 bilion.


Pengarang :