(Gambar hiasan) Seorang bayi lelaki sembilan bulan meninggal dunia diliwat suami pengasuhnya dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Kelana Jaya pada 27 April lalu
AGENDAJENAYAH

Bayi tiga bulan maut, bapa positif dadah ditahan

JOHOR BAHRU, 21 JULAI: Polis menahan seorang lelaki yang didapati positif dadah jenis Meth, selepas mendapati bayinya yang baru berusia tiga bulan meninggal dunia semasa berada di bawah jagaannya, di sebuah rumah di Gelang Patah, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar dalam kenyataan hari ini berkata lelaki berumur 31 tahun itu ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 bagi membantu siasatan.

Beliau berkata bayi itu didapati tidak sedarkan diri pada pukul 5.15 petang, sebelum dibawa ibu serta neneknya ke klinik kesihatan berdekatan, dan selepas diperiksa doktor mengesahkan bayi itu telah meninggal dunia.

Menurutnya, terdahulu ibu serta nenek bayi berkenaan dikatakan berniaga di kedai makan di Taman Nusa Perintis, Gelang Patah, manakala lelaki itu berada di rumah menjaga tiga anaknya yang berumur enam tahun, empat tahun, dan bayi berkenaan.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang bayi lelaki berusia 10 bulan meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri semasa dalam jagaan pengasuh di Gelang Patah di sini semalam.

Dzulkhairi berkata pada mulanya pengasuh itu yang menyedari bayi berkenaan dalam keadaan lemah serta sesak nafas membawanya ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan, namun bayi itu disahkan meninggal dunia pada pukul 4.50 petang.

Katanya kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001/SDR dan mayat bayi berkenaan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk dibedah siasat.

– BERNAMA


Pengarang :