Keadaan jalan raya yang mendap seluas kira-kira 30 meter persegi berlaku di Jalan Klang-Banting berhampiran lampu isyarat Kampung Johan Setia menghala ke Banting yang dipercayai akibat kerja-kerja menanam cerucuk bagi pembinaan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3). Mendapan itu dikesan berlaku kira-kira 3 petang. Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Bekalan air di Klang, Kuala Langat pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 23 JULAI: Gangguan bekalan air di Klang dan lapan kawasan di Kuala Langat pulih sepenuhnya kira-kira jam 7 pagi ini.

Ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) berkata pihaknya berterima kasih atas kesabaran pengguna selepas kerja pembaikan paip pecah di kawasan tanah mendap di simpang jalan antara Jalan Johan Setia dan Jalan Langat, Klang siap semalam.

“Air Selangor ingin mengucapkan terima kasih di atas kesabaran pengguna sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” kata Elina Baseri dalam kenyataan.

Beberapa kawasan di Klang dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual pada 21 Julai lalu akibat paip pecah di lokasi tanah mendap di tapak kerja Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) GS10.


Pengarang :