Penguat kuasa KPDNHEP Selangor memeriksa tanda harga barangan yang dijual di salah sebuah premis perniagaan di Petaling Jaya pada 3 Jun 2020. Foto Facebook KPDNHEP Selangor
AGENDANASIONAL

Bekalan makanan dijamin cukup, rakyat jangan risau

SHAH ALAM, 2 JULAI: Kerajaan memberi jaminan bekalan makanan mencukupi dan rakyat tidak perlu bimbang mengenainya, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kementerian Pertanian dan Industri Makanan membuat pemantauan berterusan di peringkat pengeluar makanan dan mampu menampung keperluan negara serta mudah diperoleh.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjalankan pemeriksaan harian terhadap 25 jenis bekalan barangan di 815 premis perniagaan termasuk peruncit (612), pemborong (173) dan pengilang (30) semalam.

“Penguat kuasa kementerian itu juga melakukan 1,885 pemeriksaan khas pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan mendapati 1,870 premis mematuhinya manakala 15 lagi sebaliknya dan diberi nasihat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) turut memeriksa 53 tapak binaan dan mendapati 38 patuh SOP manakala lima tidak patuh dan diberi amaran serta 10 tapak tidak beroperasi.

“Justeru, jumlah kumulatif tapak binaan mematuhi SOP sehingga semalam adalah 2,660 serta 484 tidak patuh dan diberi amaran. Penguat kuasa CIDB turut mengarahkan 19 tapak binaan ditutup atas kesalahan terbabit,” katanya.


Pengarang :