Jururawat memakai sut perlindungan diri memeriksa pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur pada 21 April 2020. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Bekas pesakit Covid-19 digesa mohon segera insentif RM1,000

SHAH ALAM, 22 JULAI: Bekas pesakit dan ahli keluarga mangsa Covid-19 yang berasal dari Selangor digesa membuat permohonan bagi mendapat bantuan khas RM1,000.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata insentif Pakej Rangsangan Selangor Prihatin fasa kedua itu menerima 349 permohonan dengan 195 individu mendapat manfaat setakat ini.

“Jumlah permohonan agak sedikit kerana Kerajaan Negeri menghadapi kekangan untuk mendapat data pesakit yang tertakluk dalam akta perlindungan peribadi.

“Justeru, kami berharap bekas pesakit dan ahli keluarga mangsa Covid-19 yang sudah meninggal dunia membuat permohonan segera,” katanya pada sidang media dalam talian hari ini.

Dr Siti Mariah berkata bantuan khusus untuk tahun ini boleh didaftar melalui pautan www.selangorprihatin.com

“Hanya warganegara yang bermaustautin di Selangor lebih lima tahun dan disahkan positif wabak oleh hospital, klinik kesihatan kerajaan atau pusat perubatan berdaftar sahaja layak memohon,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.8 juta kepada mangsa Covid-19 melalui pakej rangsangan yang diumum pada 1 April lalu.


Pengarang :