Guru Nabilah Ahmad Nawi (kanan) mengajar kanak-kanak di Pusat Jagaan Bintang Kecil di Taman Bandar Baru Mergong. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Berani ambil risiko buka pusat jagaan pada usia muda

ALOR SETAR, 5 JULAI: Berpegang kepada prinsip tidak akan menyerah kalah sebelum berjuang menjadi kunci kejayaan utama kepada Nabilah Ahmad Nawi, 26, yang berjaya membuka pusat jagaan kanak-kanak pada usia muda sejak empat tahun lepas.

Berbekalkan semangat kental dan berani mengambil risiko, Nabilah mampu bergelar usahawan muda apabila membuka Pusat Jagaan Bintang Kecil di sini selepas menamatkan pengajian peringkat diploma dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak dari Universiti Tun Abdul Razak (Unitar).

“Selepas tamat belajar pada 2015, saya bekerja dulu dengan orang mengajar di tadika dan prasekolah cari pengalaman sebelum mengambil keputusan membuka sendiri pusat jagaan ini pada 2016,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Nabilah yang berasal dari Perlis itu berkata beliau tidak membuat sebarang pinjaman bank untuk merealisasikan impiannya membuka pusat jagaan itu tetapi menggunakan modal simpanan sendiri hasil menjual produk kecantikan selain menjalankan perkhidmatan spa bergerak atau mobile spa.

“Cabaran paling utama masa mula-mula nak buka pusat jagaan ini adalah berkaitan modal. Saya buat sikit-sikit… ketika mula buka dulu hanya ada seorang tenaga pengajar (guru) dan lima kanak-kanak sahaja, tetapi lama-kelamaan kanak-kanak yang datang mendaftar semakin ramai.

Guru Nabilah Ahmad Nawi (kanan) mengajar kanak-kanak di Pusat Jagaan Bintang Kecil di Taman Bandar Baru Mergong. Foto: BERNAMA

“Pada usia saya 22 tahun ketika itu, saya ada keberanian untuk mengambil risiko membuka pusat jagaan ini. Saya juga tidak meminta bantuan wang ringgit daripada mak ayah saya kerana saya bukan daripada keluarga senang, ayah saya kerja di bendang sahaja,” katanya yang turut memberitahu pusat jagaannya itu berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ditanya mengenai situasi getir pernah dihadapi sepanjang membuka pusat jagaan itu, Nabilah berkata: “Tahun lepas paling teruk bagi saya apabila ramai budak-budak tidak datang dengan staf buat perangai, selain hadapi banyak persaingan termasuk fitnah terhadap saya yang buat saya ‘down’ (lemah) sebab sedih hingga rasa nak tutup pusat jagaan ini”.

Bagaimanapun, ibu kepada seorang bayi perempuan berusia lima bulan itu berkata perasaan sedih itu lama-kelamaan hilang dengan bersangka baik terhadap apa yang berlaku atas ketentuan Allah SWT dan terus bangkit mengumpulkan kekuatan berikhtiar mencari jalan penyelesaian memulihkan perkhidmatan pusat jagaannya itu.

“Setahun juga untuk pusat jagaan ini kembali normal iaitu pada tahun ini. Saya bangkit balik, saya hias bagi cantik nampak ceria semula pusat jagaan ini dan banyak membuat promosi tentang perkhidmatan di pusat jagaan saya ini.

“Saya seorang yang sangat positif terhadap semua benda, jika ada sesuatu perkara tidak elok berlaku, saya akan muhasabah diri. Saya akan semak apa silap yang saya dah lakukan untuk saya perbetul menjadi lebih baik,” katanya yang kini turut berniaga produk kesihatan dan kecantikan serta tudung sebagai pendapatan sampingan.

Anak kedua daripada lima beradik itu berkata keluarga terutama ibunya Zainab Din, 55, serta suaminya seorang tentera yang kini bertugas di Lubnan untuk tempoh setahun sejak November lepas merupakan kekuatannya dalam menghadapi segala cabaran dan kepayahan.

Nabilah kini mampu menarik nafas lega dan berbangga dengan usaha gigihnya kerana sudah mempunyai empat tenaga pengajar untuk mengendalikan kira-kira 50 murid di pusat jagaan berkenaan.

“Namun, untuk PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) ini kita hanya ada 25 kanak-kanak yang berumur antara empat hingga enam tahun datang ke pusat jagaan ini bagi sesi pagi hingga tengah hari. Setelah sekolah rendah dibuka, ada penambahan murid yang transit di sini selepas mereka balik sekolah,” katanya.

Katanya, pihaknya telah pun bersiap sedia daripada segi pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) kerajaan semasa tempoh PKPP yang antaranya menetapkan penjarakan sosial satu meter selain memastikan murid itu dalam keadaan sihat sebelum masuk ke dalam pusat jagaan berkenaan.

Ditanya pula tentang perancangan masa depannya, Nabilah berkata beliau bercita-cita untuk membuka sebuah tadika jika berpeluang termasuk modal mencukupi untuk berbuat demikian.

“Saya berniaga kerana Allah SWT. Matlamat utama saya berniaga adalah bukan untuk menjadi jutawan, tetapi nak jadi dermawan. Mudah-mudahan dengan asbab berniaga mengikut sunnah ini, rezeki lebih dan dapat memberi lebih supaya hidup diberkatiNYA,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :