Selangorkini
Sukati Saleh, 61, memeriksa tanaman kangkung di Kebun Komuniti Surau al-Husna di Seksyen 20, Shah Alam pada 23 Jun 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Berkat gotong-royong, kebun surau jana RM20,000

Penduduk Seksyen 20, Shah Alam tidak perlu lagi bersusah payah ke kedai untuk mencari bahan perisa makanan mentah. Hanya petik sendiri. Percuma.

Semua tanaman herba – daun kesum, daun salam, daun kari, daun bidara, daun sup, pudina, bunga kantan mahupun limau purut – boleh diambil bila-bila masa pun.

Bahan itu penting bagi membangkitkan aroma masakan antaranya asam pedas, asam rebus, masakan kari, sup, tomyam mahupun sekadar hiasan lauk pauk.

Di Kebun Komuniti Surau al-Husna di seksyen itu, sayur-sayuran seperti sawi, kangkung, cili merah dan jagung juga ditanam dan boleh dibeli pada kadar bawah harga pasaran.

Sawi, misalnya boleh dibeli pada harga RM10 sekalipun harga pasaran mencecah RM15 sekilo. Begitu juga ikan ternakan seperti keli dan talapia yang turut diusahakan di kebun tersebut. Hanya berharga RM5 sekilo berbanding harga pasaran sekitar RM8 manakala talapia merah cuma RM12 sekilo (harga pasaran RM15).

Berkat usaha gotong-royong sejak tiga tahun lalu juga membolehkan pengurusan surau menjana pendapatan sehingga RM20,000 sepanjang tempoh itu.

Gotong-royong

Semuanya bermula apabila seorang jemaah, Sukati Saleh, 61, giat menjalankan penanaman kecil-
kecilan sejak 2017. Bermula menanam serai tepi parit, beliau kemudian diamanahkan untuk meluaskan kebun melalui modal RM700.

Nor Azwa Ab Mutalip, 42, menyiram tanaman sayur di laman dapur rumahnya di Seksyen 20, Shah Alam pada 23 Jun  2020

Mulanya tidak ramai yang berminat menyertai usaha tersebut tetapi semakin lama bilangannya kian bertambah.

“Pada Ahad minggu pertama setiap bulan kami adakan gotong royong dan ada juga datang pada hujung minggu, cuti umum atau sebelah petang selepas waktu kerja,” katanya.

Namun, setiap usaha pasti ada rintangannya.

Mereka pernah berdepan masalah serangga perosak tetapi isu itu diatasi melalui bimbingan Jabatan Pertanian Selangor. Jabatan itu juga membantu memberi benih dan baja. Majlis Bandaraya Shah Alam dan Universiti UCSI turut menghulurkan bantuan.

Hasil tuaian kemudian dihebah di surau dan aplikasi kumpulan WhatsApp penduduk setempat. Jualan kangkung dan sawi mampu mencecah RM500 sekali tuai setiap sebulan. Jagung pula dituai dua bulan sekali, turut menghasilkan jualan RM600 sekali tuai.

Ternakan keli dan talapia merah pula terjamin dari aspek kebersihan dan kesucian khasnya dalam aspek pemakanan ikan. Mereka menjadikan kangkung sebagai makanan ikan.

“Ada segelintir penternak komersial mementingkan keuntungan semata-mata dengan memberi pelbagai jenis makanan termasuk sumber tidak halal seperti lemak atau perut khinzir.

“Tiada kos pekerja, jadi kami dapat pasarkan pada harga lebih murah dan yang penting dijamin tidak dicemari makanan bukan-bukan,” kata Sukati lagi.

Laman dapur

Kebun Komuniti Surau al-Husna kemudian diperluas ke rumah sekitar melalui program laman dapur, sebuah projek membangunkan kebun di rumah peserta.

Lebih sepuluh peserta diberi tunjuk ajar, bekalan tanah, baja dan benih.

Selain sayur-sayuran, Kebun Komuniti Surau al-Husna juga menternak keli dan talapia

Antara mereka ialah pasangan suami isteri, Nor Azwa Ab Mutalip, 42, dan suami, Hezry Rokman, 42. Mereka menamakan kebun mereka ‘Edible Eco Backyard Garden’.

Laman itu turut terpilih menyertai Anugerah Lanskap Shah Alam 2019 tetapi proses penjurian tertangguh berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Pasangan itu memilih tema ‘eat your garden’ untuk laman yang dipenuhi lebih 60 jenis tanaman. Dari buah-buahan, herba hingga lebih 40 pokok hiasan.

Herba yang ditanam pasangan guru dan penyunting foto sejak 2018 kebanyakannya sesuai untuk masakan manakala buah-buahan pula antaranya markisa, tembikai dan delima.

“Pada awalnya hanya untuk mengisi masa lapang. Kebetulan Surau al-Husna ada usahakan kebun komuniti dan mereka juga buat bengkel untuk penduduk.

“Bermula di situ, peserta sama-sama buat, ziarah menziarahi laman dapur rumah lain, bertukar
pengetahuan, berkongsi hasil tanaman dan benih. Hubungan jadi lebih erat dan menyeronokkan,” katanya.

Lebih 90 peratus perkakasan dan hiasan di ‘Edible Eco Backyard Garden’ menggunakan bahan kitar semula termasuk bekas minuman, tayar dan kayu terbuang.

Nor Azwa dan suami juga dapat mengurangkan sampah rumah dengan memproses sisa dapur dan daun kering untuk dijadikan baja kompos tanamannya.

Hasil tanaman ‘Edible Eco Backyard Garden’ tidak dipasarkan tetapi diagih percuma kepada jiran tetangga dan jemaah surau tersebut.


Pengarang :